Tuesday, 4 October 2011

Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidil Fitri 1432H

Pada 1 Oktober 2011, bertempat di rumah En Mahadir Ramly yang beralamat di No 22, Jalan Utama 3, Taman Desa Utama, telah diadakan buat julung kalinya Majlis Perjumpaan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPTDU. 

Pihak PPTDU telah mengedarkan jemputan kepada semua ahli PPTDU, penduduk sekitar TDU, penduduk Putra Heights, kedua-dua Rumah Kebajikan Ruqaiyah dan Darul Fuqaha dan anggota Balai Polis Abu Bakar Baginda.  Juga dijemput adalah ADUN Sepang, Orang Besar Daerah, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah, Penghulu Mukim, Ketua Kampung Sg Merab, Nazir dan pihak pengurusan Masjid.  

Matlamat majlis ini ialah untuk mengeratkan silaturrahim dikalangan penduduk dan menjayakan urusan pendaftaran sekurang-kurangnya 50 ahli kariah bagi tujuan permohonan mendirikan surau kepada pihak JAIS.

Majlis bermula jam 10.00 pagi, dengan ketibaan jemputan dan disusuli dengan ucapan Pengerusi PPTDU dan jamuan makan.  Majlis juga diserikan dengan bacaan Al Quran oleh pelajar Maahad Tahfiz Darul Fuqaha dan dendangan nasyid oleh pelajar Darul Fuqaha dan Rumah Kebajikan Ruqaiyah. Disamping itu majlis juga diselang selikan dengan dendangan lagu Hari Raya daripada sistem pembesar suara.

Menu utama majlis adalah Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah yang telah ditempah oleh pihak PPTDU.  Di samping itu ahli-ahli PPTDU juga menyumbang makanan dan juadah tambahan. Juadah yang dibawa adalah Laksa yang disediakan oleh keluarga Hj. Azhuril,  Lontong oleh keluarga Hj. Hanafi, Spaghetti oleh keluarga Hj. Rusli Alwi, Nasi Impit dan Rendang oleh keluarga En. Abdul Hadi dan pelbagai jenis kuih muih dan kek oleh ahli-ahli PPTDU yang lain.

Majlis berakhir dengan jayanya kira-kira jam 1.00 tengahari.  Seramai lebih kurang 300 tetamu telah hadir dan dijamu.  Dari raut wajah AJK PPTDU tergambar rasa puashati dan gembira dengan perjalanan aturcara majlis.

Sekalung tahniah diucapkan kepada AJK PPTDU dan setinggi terimakasih kepada En. Mahadir Ramly sekeluarga atas kesudian mereka menjadi tuan rumah untuk majlis yang yang julung-julung kali diadakan ini. Terimakasih juga kepada Hj. Jafrry Masat yang menjad MC untuk majlis, kepada ahli-ahli PPTDU yang sudi membawa juadah tambahan, juga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut. 

No comments:

Post a Comment